Sejak mula berdirinya Masjid Jamek Sabang Barat pada 1 Syawal 1342
H bersamaan 6 Mei 1924 M, hingga diresmikan nama baru Baitur Rahman,
tercatat jumlah yang menjadi imam ialah 10 orang. Mereka ialah:
- Al-alim al-'allamah Haji Wan Abdur Rahman bin Wan Abu Bakar al-Bughurani.
- Al-alim al-'allamah Haji Abdullah bin Yusuf al-Bughurani.
- Al-alim al-allamah Haji Abdur Rahman bin Haji Muhammad Nur al-Ambuni.
- Al-Fadhil Haji Mat Tali.
- Al-Fadhil Haji Bujang bin Ahmad Sulung.
- Al-alim al-Fadhil Haji Muhammad bin Mirun.
- Al-alim al-Fadhil Haji Muhammad Jamin bin Abdul Hamid.
- Al-Fadhil Haji Musa Muhammad bin Qasim.
- Al-Fadhil Haji Abdur Rahman al-Mahmudi.
- Al-Fadhil Haji Sabkie bin Haji Musa.
Daripada semua imam tersebut, lima daripadanya mendapat pendidikan langsung di Makkatul Mukarramah. Mereka ialah Haji Wan Abdur Rahman bin Wan Abu Bakar al-Bughurani,
Haji Abdullah bin Yusuf al-Bughurani, Haji Abdur Rahman bin Haji
Muhammad Nur al-Ambuni, Haji Muhammad Jamin bin Abdul Hamid dan Haji
Abdur Rahman al-Mahmudi. Sementara dua orang di antaranya mendapat surat tauliah mengajar di
Masjidil Haram, Mekah. Mereka ialah Haji Abdullah bin Yusuf
al-Bughurani dan Haji Abdur Rahman bin Haji Muhammad Nur al-Ambuni.
Untuk lebih terperinci, maka disertakan riwayat hidup kesepuluh imam tersebut di bawah ini. Riwayat mengenai mereka ini dibicarakan secara teratur, dari imam yang awal hingga yang terakhir. Berikut dimulai dengan Imam Masjid Jamik Sabang Barat yang pertama, yaitu:
1. Haji Wan Abdur Rahman Bin Abu Bakar
Nama lengkap beliau ialah Haji Wan Abdur Rahman bin Wan Abu Bakar
bin Wan Ta'sim. Berasal dari Pulau Bunguran (Natuna), Indonesia.
Asal-usulnya adalah dari Johor, yang mana datuk-datuknya adalah seorang
pembesar kerajaan Johor. Karena terjadi suatu perselisihan, beliau melarikan diri
ke Pulau Bunguran (Natuna), Indonesia. Hal seperti itu adalah perkara
biasa bagi keturunan beliau.
Perkara-perkara seperti ini pernah terjadi kepada moyangnya yang berasal dari kerajaan Patani, di mana ketika terjadi perang antara Patani melawan Siam sekitar tahun 1632 M, lalu moyangnya bernama Faqih Ali berangkat ke Sulawesi dengan tujuan mencari bantuan untuk melawan Siam.
Dalam pelarian itu, beliau (Faqih Ali) membawa Bendera Patani yang
disebut bendera Buluh Perindu. Maka Faqih Ali diangkat oleh Sultan
sebagai ketua orang Melayu di sana setelah beberapa lama pulang ke
Johor.
Beliau dikaruniakan ramai keturunan, dan dari sekelian ramai
keturunannya itu adalah Haji Wan Abdur Rahman yang dibicarakan ini.
* Berangkat ke Mekah
Haji Abdur Rahman sejak mudanya telah berangkat ke Mekah. Di Mekah
beliau ditampung oleh seorang ulama terkenal dengan karyanya Mathla'
al-Badrain, yaitu Sheikh Muhammad bin Ismail al-Fathani atau nama
lainnya Sheikh Muhammad Shaghir, juga terkenal dengan nama Sheikh Nik
Mat Kecik al-Fathani. Bahkan di bawah pinggir kitab Bahjatul Mardhiah, dicatatnya bahwa
beliau belajar kitab itu kepada pengarangnya tahun 1321 H. Beliau adalah
tempat pertama Haji Abdur Rahman menuntut ilmu-ilmunya di Mekah.
Selain itu, Haji Abdur Rahman juga belajar kepada ulama Patani yang
terkenal di seluruh dunia Islam, yaitu Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain
bin Muusthafa al-Fathani. Dengan takdir Allah, Haji Abdur Rahman
berbiras dengan ulama tersebut, kerana anaknya, Haji Wan Abdullah
berkahwin dengan anak Sheikh Ahmad al-Fathani yang bernama Hajah Wan
Zainab. Haji Abdur Rahman juga belajar daripada ulama yang berasal dari
Kelantan iaitu Sheikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani.
* Kitab-kitab yang diajar
Berdasarkan catatan-catatannya, terdapat beberapa kitab yang
diajarnya di Masjid Jamek Sabang Barat. Semuanya adalah kitab
Melayu/Jawi. Selain menjadi imam dan mengajar, beliau juga adalah seorang 'tukang
nikah' atau kadi. Ini kerana di zaman tersebut masih belum ada tempat
yang khusus seperti sekarang.
Khutbah Jumaat pada zaman beliau masih menggunakan bahasa Arab
secara keseluruhannya. Khatib memakai tongkat dan bertutup kepala. Pada
hari Jumaat, beduk berbunyi pada masa tertentu, yaitu pukul 6 pagi, 9
pagi, 11 pagi, 12 tengah hari dan 3.30 petang. Selain Jumaat pula, beduk akan dipukul semasa 12.30 tengah hari,
3.30 petang, 6 petang, 7 petang dan jam 4.30 pagi, yaitu sebagai petanda
masuk waktu solat. Pada hari raya, beduk dibunyi dengan agak panjang. Haji Wan Abdur Rahman Wan Abu Bakar menjadi Imam Masjid Jamik Sabang
Barat mulai 1 Syawal 1342 H / 6 Mei 1924 M sehinggalah wafatnya pada 22
Rejab 1344 H/ 18 Februari 1926 M (hari Isnin).
Keturunan
Haji Abdur Rahman hanya dikurniakan seorang anak yaitu Haji Wan
Abdullah, seorang penguasa Ahmadi & Co Midai sejak tahun 1936 M sehingga 1958 M. Hasil perkahwinan Haji Wan Abdullah dengan anak dari Sheikh Ahmad
al-Fathani, yaitu Hajah Wan Zainab, mereka dikurniakan 12 orang anak,
yaitu:
- Wan Mohd Zain.
- Wan Ali.
- Wan Kalthum.
- Wan Nur.
- Wan Abdur Rahman.
- Wan Nafisah.
- Wan Abdur Rahim.
- Wan Abdul Halim.
- Wan Muhammad Shaghir.
- Wan Shaghiriah.
- Wan Taufiqiah.
- Wan Qadariyah.
Demikianlah riwayat ringkas Imam Masjid Jamek Sabang Barat yang pertama.
-------------------------
2. Haji Abdullah Yusuf Al-Bughurani
Ulama ini lebih muda dari Haji Wan Abdur Rahman. Beliau juga berasal dari Pulau Bunguran (Natuna), dan juga belajar di Mekah. Di Mekah, beliau belajar daripada ulama-ulama tempat di mana Haji
Abdur Rahman juga belajar. Ini kemungkinan beliau dibawa ke Mekah
dari Midai oleh Haji Wan Abdur Rahman sendiri. Berkahwin dengan Hajah Dayang, namun tidak memperoleh zuriyat / keturunan.
Walaupun beliau seorang ulama besar, namun ketika di Midai beliau juga adalah seorang pedagang. Beliau mendirikan satu syarikat dagang dengan nama Air Putih Syarkah. Air Putih Syarkah ini pernah bergabung dengan Syarikat Ahmadi Midai, Syarikat Kampar-Kuantan dan syarikat-syarikat dagang bumiputera lainnya di seluruh Pulau Tujuh membuka perwakilan di Singapura tahun 1915 M.
Segala pentadbiran dan pengelolaan diserahkan bulat-bulat kepada
Syarikat Ahmadi Midai yang kemudiannya memakai nama Ahmadi & Co
Midai cawangan Singapura. Di Mekah, beliau dikurniakan surat tauliah, yang mana membolehkannya
mengajar di Masjidil Haram. Surat berharga itu ditulis dengan tinta
emas dan merupakan satu jaminan bahawa beliau menguasai ilmu yang banyak
dan kuat berhujah.
Tidak banyak perkara yang dapat diketahui tentang beliau ini, namun beliau juga mengajar di masjid tersebut. Haji Abdullah Yusuf meninggal dunia di Singapura dalam perjalanan ke
Mekah. Setelah meninggal, semua hak miliknya di Midai dijual kesemuanya
oleh isteri beliau yang kemudiannya pulang ke Mekah. Dikatakan beliau
meninggal dunia di Geylang, Singapura pada hari Sabtu, iaitu 30
Rabiulakhir 1345 H (6 November 1926 M) dan dikebumikan di Bukit Wakaf.
Selanjutnya diteruskan dengan imam-imam yang lain, antaranya al-Fadhil Imam Haji Abdur Rahman Ambon, al-Fadhil Imam Haji Bujang, al-Fadhil Imam Haji Mat Tali dan al-Fadhil al-Imam Haji Muhammad Mirun.
-----bersambung pada bagian 2-------
Sumber:
(Koleksi tulisan ALLAHYARHAM WAN MOHD. SAGHIR ABDULLAH)
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1006&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm
No comments:
Post a Comment