------lanjutan dari bagian 2-----
7. Haji Muhammad Jamin
Nama lengkapnya ialah Haji Muhammad Jamin bin Abdul Hamid. Beliau
berasal dari Bunguran (Natuna). Mula-mula beliau belajar di salah satu
pondok di Kedah, lalu meneruskan pengajiannya ke Patani. Antara pondok
pengajian yang terkenal di Kedah semasa beliau menuntut di sana ialah
Pondok Langgar, Pondok Gajah Mati dan lain-lain.
Ulama yang mengajar di pondok Gajah Mati pada ketika itu ialah
seorang ulama besar yang bernama Sheikh Ibrahim bin Abdul Qadir bin
Musthafa al-Fathani, iaitu saudara sepupu Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain
bin Musthafa al-Fathani. Ramai yang berasal dari Indonesia masuk pengajian di pondok Gajah
Mati tersebut, di antara yang sangat terkenal dan menjadi ulama besar
yang mengajar di Masjidil Haram, Mekah iaitu Sheikh Abdul Qadir bin
Abdul Muthallib al-Mandailin (Mandailing).
Belajar ke Mekah dan guru-gurunya
Haji Muhammad Jamin juga belajar di Patani setelah pulang dari
Midai. Kemudiannya beliau meneruskan perjalanan ke Mekah untuk
melanjutkan pengajiannya. Antara ulama Patani yang menjadi guru beliau
ialah Sheikh Daud bin Musthafa al-Fathani dan Sheikh Ismail bin Abdul
Qadir bin Musthafa al-Fathani (Pak De El).
Beliau juga belajar kepada ulama-ulama Arab, di antaranya Sheikh
Muhammad Said al-Babshili, Sheikh Ali al-Maliki dan lain-lain. Apabila
memperhatikan kitab-kitab peninggalan Haji Muhammad Jamin yang hampir
dua pertiga dalam berbahasa Arab, maka cukup meyakinkan penulis bahawa
beliau memang menguasai ilmu-ilmu alat Arabiyah seumpama ilmu Nahwu,
Saraf, Bayan, Mantik dan lain-lain.
Kitab-kitab yang diajar
Seperti mana imam-imam sebelumnya, beliau juga mengajar beberapa
kitab. Di antaranya Mathla al-Badrain, Munyatul Mushalli, Ushulut Tahqiq
dan sebagainya.
Perwatakan Pribadinya
Haji Jamin adalah seorang yang alim serta warak. Antara perwatakan
peribadinya yang lain, beliau dikenali sebagai seorang yang tidak banyak
bercakap, melainkan perkara yang penting. Apabila ada yang tidak
disukainya, maka beliau banyak mendiamkan diri, sekiranya keadaan
tersebut memang tidak dapat untuk dinasihati.
Antara amalan rutin yang dikerjakannya seperti berzikir sesudah
solat subuh, sembahyang Isyraq dan Dhuha yang dikatakan tidak pernah
ditinggalkannya, sembahyang Tahajud yang hampir setiap malam
dilakukannya, puasa setiap Senin dan Kamis dan lain-lain lagi
amalan-amalan sunat. Perkara ini diketahui berdasarkan keterangan yang penulis peroleh
daripada Haji Syafii yaitu menantunya yang tertua. Hobinya ialah memukat
ikan.
Keturunan
Haji Jamin pernah berkahwin beberapa kali. Perkahwinan yang pertama
dengan Radhiah dan mendapat anak bernama Fatimah yang berkahwin dengan
Haji Syafii. Perkahwinan kedua dengan Kasum, tetapi tidak mendapat anak.
Perkahwinan ketiganya ialah dengan Hajah Zainab dan mendapat beberapa
zuriat iaitu Aminah, Zalikha, Radhiah dan Hamidin. Terakhirnya pada
perkahwinan keempat dengan Maryam mendapat anak bernama Rahmah.
----------------------
8. Haji Musa
Nama lengkap beliau ialah Haji Musa bin Muhammad Qasim @ Haji
Bujang. Beliau tamat Sekolah Rakyat dalam tahun 1919 M. Belajar tentang
ilmu Islam daripada beberapa ulama, antaranya Haji Abdullah Yusuf, Haji
Abdur Rahman Ambon, Haji Muhammad Janik, Haji Muhammad Kepul, Haji Abu
Bakar Pontianak, Haji Abdullah Terengganu dan lain-lain.
|
Lukisan wajah H. Musa yang dilukis menantu beliau |
Haji Musa berkahwin dengan Hajah Aisyah, yang dilahirkan di Mekah. Haji Musa dikatakan seolah-olah sebagai pengganti Haji Abdullah Yusuf dalam mendidik masyarakat di Air Putih dan sekitarnya. Isterinya pula mendidik kumpulan perempuan. Antara ilmu-ilmu yang diajar oleh sepasang suami dan isteri itu adalah ilmu fiqih, usuluddin dan tasauf. Haji Musa juga dikenali sebagai tukang sunat atau istilah kini Tok Mudim.
Muzakarah penulis dengan Haji Musa
Penulis pernah bermuzakarah dengan Haji Musa pada tahun 1967 M, ketika
beliau baru sembuh daripada sakitnya. Dalam muzakarah tersebut, antara
yang dibincangkan adalah berkaitan Masjid Jamek Sabang Barat,
membincangkan ilmu tauhid menurut metod Sifat 20, fahaman Abu Hasan
al-Asyari dan Abu Mansor al-Maturidi.
Selain itu, beliau menunjukkan kepada penulis sebuah kitab
Melayu/Jawi yang berjudul Bahjatus Saniyah, karangan Sheikh Daud
al-Fathani. Kebanyakan perbicaraan antara penulis dengan beliau banyak
berkisar permasalahan fiqh menurut Mazhab Syafie. Bahkan beliau menceritakan juga tentang amalan Salawat Dala-ilul
Khairat yang berasal dari Sheikh Sulaiman al-Jazuli. Amalan tersebut
diterimanya daripada Haji Abdur Rahman Ambon. Bahkan beliau menjelaskan
bahawa ada beberapa perkara yang mesti dikerjakan setiap hari ke atas
setiap orang Muslim iaitu, istighfar, zikir, selawat dan membaca
al-Quran.
Beliau menjelaskan bahawa istighfar hendaklah dibuat
sekurang-kurangnya 70 kali sehari. Zikir pula sekurang-kurangnya 300
kali, manakala selawat sekurang-kurangnya 40 kali dan yang terakhir
membaca al-Quran sekurang-kurangnya tiga puluh ayat sehari semalam. Menurut beliau hal tersebut adalah seperti mana yang difatwakan oleh kebanyakan guru.
Keturunan
Haji Musa memperoleh 14 orang anak iaitu: Bakri, Fatimah, Zainab,
Roqiah, Sabki, Sanusi, Zalikha, Fauzi, Salmah, Faruk, Jamilah, Khadijah,
Fauziah dan Aminah.
----------------
9. Haji Abdur Rahman al-Mahmudi
Dilahirkan di Pulau Panjang Indoman, Kecamatan Cerenti, Kabupaten
Inderagiri, Indonesia. Beliau melanjutkan pengajian agama Islam di
Padang, Sumatera Barat. Setelah tamat pengajian, beliau membuka Madrasah
di kampung kelahirannya.
Tidak lama kemudian, keluarganya di Midai membawanya pindah ke Midai
untuk mengajar mengaji al-Quran dan mendidik kaum keluarganya di
Midai. Setelah itu, saudara sepupunya yaitu Fakih Muhammad Yusuf bin
Muhammad Karim menghantarnya ke Mekah, bertujuan memasuki pengajian
Madrasah Darul Ulum yang terkenal pada waktu itu.
Menurut cerita beliau kepada penulis, pada ketika itu telah terjadi
satu kekacauan yang menyebabkan beliau terpaksa berhenti belajar dan
mengikuti latihan ketenteraan. Tujuannya mengikuti latihan itu adalah
sebagai satu peluang melarikan diri daripada penjagaan yang ketat. Maka
setelah itu beliau berjaya meloloskan diri dari Mekah ke Pulau Pinang
dan Singapura. Akhirnya terus pulang ke Midai. Setelah sampai di Midai, beliau meneruskan mengajar keluarga dan
sanak saudaranya tentang ilmu-ilmu yang dituntutnya selama
bertahun-tahun.
Kebolehan dalam ilmu al-Quran dan lain-lain
Selain mengajar sebagai imam Masjid Jamek Sabang Barat, beliau juga
mengajar dengan kaedah berbentuk ceramah, secara langsung menterjemahkan
al-Quran dan tafsirnya. Tidak dinafikan beliau seorang yang berkebolehan dalam bidang
tersebut. Dalam bidang fiqih pula, beliau juga mengajar kitab Mathla
al-Badrain seperti imam-imam sebelumnya.
Haji Abdur Rahman al-Mahmudi diakui juga seorang yang fasih
berbahasa Arab, yang sekaligus menguasai dalam bidang menterjemahkan
al-Quran. Akan tetapi perkara ini tidak bererti bahawa beliau telah
menguasai kitab-kitab Mazhab Syafie yang tinggi-tinggi ditulis dalam
bahasa Arab.
Selain itu, beliau menguasai ilmu Nahwu dan Saraf, namun
ia juga tidak bererti beliau juga menguasai ilmu bahasa Arab yang lain
termasuk Ilmu Bayan, Badi, Balaghah, Arudh, Qawafi dan lain-lainnya. Hal ini penulis dapat ketahui ketika berdialog dengannya di Serasan, Indonesia pada tahun 1984 dan 1985.
Penutup
Tidak banyak perkara yang dapat diulas mengenai riwayat hidup Imam
Masjid Sabang Barat yang kesembilan ini, iaitu Haji Abdur Rahman
al-Mahmudi. Penulis hanya membicarakan secara umumnya sahaja berdasarkan
kepada beberapa catatan-catatan yang ada dalam simpanan penulis.
-----------------------------
Mengenai Imam Masjid Jamek Sabang Barat yang terakhir, yaitu
al-Fadhil Haji Sabkie bin Haji Musa tidak dapat dibicarakan lagi. Ini
kerana data mengenainya telah hilang daripada catatan penulis. Hanya yang dapat dinyatakan bahawa beliau adalah anak kepada Imam
Masjid Jamek Sabang Barat yang kedelapan, iaitu Haji Musa bin Muhammad
Qasim.
Bersambung........
Sumber:
(Koleksi tulisan ALLAHYARHAM WAN MOHD. SAGHIR ABDULLAH)
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1006&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm