Wednesday, May 8, 2013

Sejarah Pendirian Masjid Jami' Sabang Barat Midai

Pulau Midai dimulai dengan pemerintahan sebagai "Wakil Sultan Riau-Lingga, Johor dan Pahang dan sekalian daerah taklukannya". Pemimpinnya ialah Raja Haji Ilyas bin Raja Haji Umar. Pemerintahannya dimulai dengan penanaman pohon kelapa, sama dengan daerah Pulau Tujuh lainnya sekitar tahun 1870-1880 M.

Pusat pemerintahannya berada di Suak Midai. Untuk mengatur pemerintahannya, Raja Haji Ilyas terlebih dahulu mendirikan tiga bangunan yang dianggap penting.
Semua bangunan tersebut didirikan sekitar tahun 1882 M, yaitu setelah kelapa mengeluarkan hasil. Ketiga bangunan penting tersebut yaitu:
  1. Masjid yang dinamakan Masjid Raja.
  2. Pejabat pemerintahannya terletak di laut.
  3. Rumah kediamannya terletak berdekatan dengan masjid.
Masjid Tertua di Midai
Tindakan Raja Haji Ilyas yang mendahulukan dan mengutamakan bangunan masjid dari lainnya adalah mengikuti jejak langkah Nabi Muhammad Shalallahu 'Alaihi Wassalam saat berpindah dari Mekah ke Madinah yang mengutamakan membangun Masjid Quba. Juga telah menjadi adat raja-raja Melayu bahwa dimana Raja membuat tempat kediaman, hendaklah terlebih dahulu membangunkan rumah ibadat atau masjid.

Sultan Syarif Abdur Rahman, Sultan Pontianak, yang pertama misalnya, turut mendahulukan masjid daripada yang lainnya. Masjid yang didirikan Raja Haji Ilyas tersebut sampai sekarang masih ada dan sekarang dinamakan Masjid az-Zuriyat.


Oleh kerana pusat pemerintahan tidak di Suak Midai lagi dan dipindahkan ke Tanjung Enong Tanjung Keramat dan pelabuhan kapal di Sebelat, maka berdiri sebuah masjid lagi di Suak Besar atau di lokasi Wakaf Umum Suak Besar sekarang.


Di zaman pemerintahan Raja Haji Ilyas, penduduk mayoritasnya ialah orang-orang Pesuku (orang laut). Pada masa itu, sebagian besar yang mengisi Masjid Raja hanyalah kaum Diraja saja. Adapun setelah ramai para pendatang, masjid di Suak Besar mulai dikunjungi orang.


Pada masa itu apabila hari Jum'at terpaksa Raja-raja memerintahkan orang-orang hitam Habsyi (hamba abdi Raja yang dibeli) supaya menangkap mereka yang tidak mengerjakan Jum'at. Kemudian dibawa ke Suak Besar supaya melakukan solat Jum'at.

 
Orang-orang yang ingkar terpaksa melalui jalan pantai apabila mereka melalui masjid di Suak Besar itu. Tetapi orang-orang Habsyi tetap mengejar mereka dan memaksa dengan kekerasan supaya ke masjid. Ibarat secara paksa demikian berjalan seberapa lamanya, sehingga masjid di Suak Besar itu diimami oleh Haji Wan Abdur Rahman bin Wan Abu Bakar.


Riwayatnya bermula ketika Haji Wan Abdur Rahman datang dari Mekah sekitar tahun 1336 H (1918 M), maka masyarakat melantiknya menjadi Imam Suak Besar sekaligus sebagai ‘Ulama Bertauliah’ di Midai. Beliau tidak menyetujui ibadat dengan cara paksa seperti tersebut.


Pemerintah Midai ketika itu yang sebagai muridnya menyetujui bahwa ibadat Jumat secara tangkap paksa tersebut dihentikan. Oleh kerana sebagian besar penduduk ketika itu memang masih jauh ketinggalan tentang hukum-hukum Islam, hal ini mengakibatkan dari hari ke hari jemaah ke masjid semakin berkurang.

 
Mendirikan Masjid Baru
Setelah ditinjau, Haji Abdur Rahman mendapati bahwa perkara itu bukanlah disebabkan orang-orang yang tidak melakukan solat Jumaat, tetapi kerana penduduk di Suak Besar memang tidak ramai.

Orang mulai ramai di Sabang Barat. Beliau mulai mengambil inisiatif untuk memindahkan Masjid Suak Besar itu di tempat penduduk yang mulai pesat dan bakal berkembang.
Maka pada satu hari setelah solat Jum'at diadakan pertemuan kilat di Masjid Suak Besar itu, yang terdiri para tokoh, iaitu:
  1. Haji Wan Abdur Rahman bin Wan Abu Bakar, imam dan guru bertauliah
  2. Penghulu Ismail, Ketua Pemerintah Midai pada ketika itu.
  3. Raja Ali bin Raja Mohammad Nong, Ketua Syarkah Ahmadi & Co Midai, juga seorang tokoh terkemuka Riau, terutama Pulau Tujuh dan Singapura.
  4. Haji Abdullah Yusuf, Ketua Air Putih Syarkah, dan ulama besar yang mempunyai surat boleh mengajar di Masjidil Haram, Mekah.
  5. Dukun Mahmud, tokoh masyarakat Kuantan.
  6. Teguh, tokoh masyarakat Kuantan.
  7. Pehin Datu, tokoh masyarakat Kuantan.
  8. Sihak, seorang pedagang/ orang kaya.
  9. Intan Judin, ketua Syarikat Dagang Kampar.
Awalnya, Haji Wan Abdur Rahman bin Wan Abu Bakar memberikan dasar mendirikan masjid menurut Mazhab Syafi'ie, di antaranya ialah, “Tidak sah negeri yang berkota mendirikan Jum'at di luar kota, tidak sah negeri yang tidak berkota mendirikan Jum'at di kesudahan tempat yang didiami manusia.

Maka apabila dikaji, didapati bahwa kota dan pelabuhan Midai ketika itu ialah Sabang Barat. Selain itu, didapati juga Masjid Suak Besar ketika itu terletak jauh di luar kota dan di tempat yang hampir-hampir tidak didiami orang. Hasil perbincangan itu, memutuskan perkara-perkara berikut iaitu:
  1. Memindahkan solat Jumaat dan Masjid Suak Besar ke Sabang Barat.
  2. Membangunkan masjid baru untuk solat Jum'at dan lain-lain lagi di Sabang Barat.
  3. Imam masih tetap pada ketika itu iaitu Haji Wan Abdur Rahman bin Wan Abu Bakar.
  4. Ketua bagi mengelola pembangunan diamanahkan kepada Raja Ali bin Raja Muhammad Tengku Nong, sekaligus mewakili bumiputera dan nama Syarikat Ahmadi & Co Midai.
  5. Ketua pengurus Kampar-Kuantan diberi kepercayaan kepada Tauke Sihak dan Dukun Mahmud.
Maka Raja Ali mulai menjalankan tugasnya dengan menyuruh orang menebang pohon-pohon kelapa. Dilaksanakan kerja-kerja yang secara gotong-royong itu dimulai pada 7 Syawal 1341 H (23 Mei 1923 M), dengan mengangkut batu dari laut dan dibawa ke lokasi yang dibangunkan. Arkiteknya didatangkan khusus dari Terengganu, seperti mana permintaan Raja Ali sendiri.

Lebih kurang setahun kemudian, maka tibalah dua perahu besar dari Terengganu di bawah pimpinan Wan Abdullah Terengganu atau popular dengan gelaran Cik Wan Lah, masuk di Pelabuhan Sabang Barat. Tidak dinafikan lagi bahwa kedua perahu itu membawa bahan-bahan untuk membangunkan masjid yang sudah dipahat dan diketam di Terengganu, hanya tinggal untuk memasangnya saja. Hampir semua bahan untuk dibangunkan masjid tersebut didatangkan khusus dari Terengganu, sementara semennya diimport lebih awal dari Singapura.


Hanya beberapa bulan sahaja, kerja mendirikan masjid itu siap sepenuhnya. Ia berdiri dengan megah di pinggir Kota Sabang Barat. Kota yang diapit oleh dua bangunan yang hampir sama bentuknya, iaitu bangunan Ahmadi & Co Midai dan masjid yang megah itu.
Masjid tersebut diberi nama Masjid Jami’ Sabang Barat, yang diresmikan menjelang solat Aidilfitri pada hari Selasa, 1 Syawal 1342 H / 6 Mei 1924. Haji Wan Abdur Rahman bin Wan Abu Bakar adalah sebagai imam yang pertama sejak masjid itu diresmikan sehingga beliau meninggal dunia pada hari senin, 22 Rajab 1344 H bertepatan dengan 18 Februari 1926 M. 

Pada sekitar tahun 1986, sewaktu masjid ini diperbaiki namanya ditukar kepada Masjid Baitur Rahman, mengambil sempena nama pendirinya Haji Wan Abdur Rahman bin Wan Abu Bakar dan nama dua orang imam yang lain sesudah beliau yang juga bernama Abdur Rahman.
 

Bahan Bangunan Masjid
Hampir keseluruhan bahan bangunan masjid dibawa dari Terengganu. Antaranya adalah bagian atap dibuat dari kayu belian, dinding dari kayu cengal, lantai dibuat dari semen yang didatangkan dari Singapura. Uniknya bangunan ini tidak menggunakan sembarang paku besi, tetapi dengan memasak kayu.

 

Di bangunan loteng pada bagian atas sekali terdapat reka bentuk seperti nisan. Hal yang sama juga pada muka di atas beranda / teras yang terdapat satu nisan. Nisan-nisan tersebut dibuat sedemikian rupa kerana mengandungi maksud yang tersendiri, yaitu:
  1. Nisan yang terletak pada muka sekali bermaksud sebagai lambang syarikat Ahmadi & Co Midai dan bumiputera yang tetap menjadi pemimpin untuk masjid dan sembarang kegiatan di Pulau Midai.
  2. Ahmadi & Co Midai dan bumiputera menjunjung tinggi dan menghormati kaum pendatang, yang pada ketika itu yang ramai datang adalah dari Kampar dan Kuantan (Provinsi Riau saat ini). Oleh itu, dua dari batu nisan tersebut bererti adalah lambang Kampar dan Kuantan.
  3. Selain dua nisan tersebut, terdapat satu lagi batu nisan yang terletak di atas mimbar. Ia diberi penafsiran bahwa sama ada bumiputera, Kampar atau Kuantan, mahupun siapa saja pasti akan mati. Ia dinisbahkan bahwa lumrah nisan pasti ada pada setiap kubur kaum Muslimin.
Nisan di atas mimbar adalah satu penegasan bahwa setiap khatib tidak sekali-kali membicarakan persoalan duniawi yang tidak ada sangkut paut dengan akhirat. Khatib diwajibkan memberi ceramah persoalan takwa dan wasiat. Bahwa sangat banyak hadist yang melarang berbicara dunia di dalam masjid.

Ciri-ciri Masjid
Masjid Jami’ Sabang Barat mempunyai pagar-pagar yang terukir di kiri dan kanan beranda muka. Dari depan terdapat tiga pintu, satu menyorong jauh ke depan, di depannya terdapat anak tangga, yang di kiri dan kanannya ada beranda persis masjid Pulau Penyengat, Riau yang bersejarah itu. Dan di kiri kanan masjid masing-masing terdapat satu pintu naik ke atas. Di bagian atas loteng terdapat tempat untuk orang Azan, seolah-olah loteng bangunan Ahmadi & Co Midai yang ada pada satu masa dulu. Sebagaimana masjid-masjid lainnya, pada bagian arah ke kiblat terdapat mihrab yang diukir.

Mimbar 
Mimbar ialah tempat khatib berkhutbah. Khusus dipergunakan untuk khutbah setiap hari Jum'at, dan dua hari raya. Mimbar masjid ini juga penuh dengan ukiran bunga dan pohon yang menjalar dan merayap. Bunga melambangkan sesuatu yang harum. Agama Islam adalah termasuk perlambangan bunga yang harum itu. Islam itu merayap dan menjalar menuju sasaran penyebarannya.

Mimbar ini juga didatangkan dari Terengganu. Mengikut mimbar Nabi Muhammad
Shalallahu 'Alaihi Wassalam dan empat sahabat baginda Sayidina Abu Bakar, Umar, Usman dan Ali r.a. Sebagaimana yang diterangkan dalam fiqh-fiqh Mazhab Syafi'ie sebagai berikut “Adalah mimbar Nabi Shalallahu 'Alaihi Wassalam tiga tangga, selain dari Mustarah.”

“Nabi Muhammad
Shalallahu 'Alaihi Wassalam berkhutbah ditangga yang ketiga. Saidina Abu Bakar berkhutbah ditangga yang kedua. Saiyidina Umar berkhutbah di tangga yang paling bawah. Saidina Usman berkhutbah naik semula ditangga yang ketiga seperti Nabi Muhammad Shalallahu 'Alaihi Wassalam.” Tersebut di dalam kitab Bughyathut Thullab “Disebutkan pula bahwa di zaman pemerintahan Mu‘awiyah tangga mimbar dibuat sampai sembilan.”
 

Terdapat banyak lagi ciri bangunan unik yang terdapat di dalam dan di luar Masjid Jami’ Sabang Barat ini, yang mana semuanya melambangkan maksud-maksud yang tersendiri yang tidak dapat diceritakan pada ruangan yang terbatas ini.

Penutup 
Demikianlah riwayat ringkas tentang pembangunan masjid di Midai, yang pada waktu yang sama juga dibangunkan sebuah rumah wakaf untuk imam masjid di sebelah utara masjid.

--------------------------

Ni kalo awak-awak semue penasaran betuk masjidnye, sekarang tengah direnovasi, tapi tak ape lah ye, saye upload je. :D

Masjid Jamik Baiturrahman Midai. (sedang direnovasi)

Sumber :
(Koleksi tulisan Allahyarham WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH) 
https://ibadurrahman99.wordpress.com/2012/07/04/wan-abdur-rahman-pendiri-masjid-jami-sabang-barat/

No comments:

Post a Comment