3. Haji Abdur Rahman Ambon
Nama lengkap beliau ialah Haji Abdur Rahman bin Haji Muhammad Nur
al-Ambuni. Beliau terkenal dengan gelar 'Pak Tuan Alim Ambon'. Menetap
di Mekah dengan belajar sambil mengajar di sana sekitar 40 tahun
lamanya. Banyak tempat yang dipelajarinya, termasuk dari ulama-ulama
yang pernah mengajar Haji Wan Abdur Rahman bin Haji Abu Bakar, Imam Masjid Jamik Sabang Barat yang pertama yang pernah dibicarakan.
Penulis berpendapat, sebelum Haji Abdur Rahman Ambon datang ke Pulau
Tujuh, beliau pernah mengembara ke Kalimantan Barat, Indonesia. Ini
kerana penulis menemui sebuah kitab amalannya bernama Riyadhus Shalihin
di Kampung Sungai Bundung, Kabupaten Pontianak, Indonesia. Di bagian
pinggir kitab tersebut telah termaktub nama beliau. Berkemungkinan besar beliau ke Kalimantan Barat dengan seorang
muridnya yang juga seorang ulama besar bernama Haji Muhammad Shalih dari
Sarawak. Kubur ulama besar tersebut juga terletak di Sungai Bundung,
Kalimantan Barat.
Bahkan dikatakan Haji Abdur Rahman Ambon juga mungkin pernah ke
Sarawak, kerana hobinya memang gemar menyebarkan Islam dengan
mengembara. Bahkan sebelum ke Midai, beliau pernah mengajar di Pulau
Natuna (gugusan pulau Bunguran), terutama Pulau Tiga dan Sedanau. Haji Abdur Rahman Ambon dikenali sebagai seorang ulama ahli sufi dan
dikatakan mempunyai beberapa kekeramatan. Diceritakan bahwa pernah
terjadi satu kebakaran di Pulau Tiga yang menghabiskan banyak perkebunan kelapa. Maka beliau terus berdiri dan berdoa, lalu secara
tiba-tiba saja datang angin serta hujan lebat yang secara tidak
langsung memadamkan api.
* Murid-murid Haji Abdur Rahman Ambon
Murid-murid beliau sangat ramai, baik di Mekah, Kalimantan Barat
maupun Sedanau, Pulau Tiga, dan juga Midai. Bahkan boleh dikatakan hampir
kesemua imam Masjid Jamik Sabang Barat selepas beliau adalah muridnya.
Mereka adalah:
- Haji Muhammad Shalih, yang berasal dari Sarawak seperti yang disebutkan. Beliau adalah ulama besar yang menyebarkan Islam di Kalimantan Barat dan Sarawak. Semasa di Pontianak, beliau berkahwin dengan ibu saudara Haji Abdur Rani Mahmud, yaitu seorang ketua Majlis Ulama Kalimantan Barat. Mengenai beliau ini pernah disentuh oleh penulis tentang sejarah beliau secara terperinci. Haji Muhammad Shalih tersebut meninggal di Kalimantan Barat dan dimakamkan di Sungai Bundung, Indonesia.
- Haji Bujang, yaitu imam Masjid Jamik Sabang Barat yang keempat.
- Haji Mat Tali, imam yang kelima.
- Haji Muhammad Mirun, imam yang keenam.
- Haji Muhammad Jamin, imam masjid yang ketujuh.
- Haji Musa, imam yang kelapan.
Mengenai murid-murid beliau yang di tempat lainnya tidak dapat
dinyatakan. Ini kerana hanya dapat diketahui bahwa beliau mempunyai
ramai murid di berbagai tempat, tetapi nama-nama mereka tidak dapat
dikenal pasti dengan mendalam.
Keturunan
Haji Abdur Rahman Ambon mendapat seorang anak perempuan lalu
dikawinkan dengan murid dan anak angkatnya iaitu Haji Muhammad Mirun.
Anak lelakinya juga hanya seorang yaitu Haji Bujang bin Haji Abdur
Rahman Ambon. Tuan Guru Haji Abdur Rahman Ambon meninggal dunia di Midai,
Indonesia pada 24 Jamadilakhir 1355H, dan dikuburkan di Perkuburan Suak
Besar, berhadapan bekas Masjid Suak Besar.
Sekembalinya Tuan Guru Haji Abdur Rahman Ambon ke rahmatullah, maka
digantikan pula dengan imam yang keempat. Terdapat sedikit pertikaian
mengenai imam yang keempat ini, disebabkan banyak pendapat mengenainya. Menurut penduduk-penduduk Midai, imam Masjid Jamik Midai yang
keempat adalah Haji Mat Tali dan ada mengatakan Haji Muhammad Mirun,
juga Haji Bujang.
Pun begitu, penulis meletakkan Haji Bujang sebagai imam yang
keempat. Ini kerana jarak masa Haji Abdur Rahman Ambon meninggal dunia
tidak jauh dengan meninggalnya Haji Bujang. Haji Abdur Rahman meninggal
pada 24 Jamadilakhir 1355 H, manakala Haji Bujang meninggal dunia pada
hari Rabu, 8 Syawal 1357 H.
4. Haji Bujang Bin Haji Ahmad Sulong
----------------------------
4. Haji Bujang Bin Haji Ahmad Sulong
Nama lengkap beliau Haji Ali Ahmad bin Haji Ahmad Sulong. Beliau
berasal dari Jawa. Menurut keterangan anaknya yaitu Syuamsuddin dari
Solo, Jawa Tengah, pada saat H. Bujang membangun dan memelihara seluruh
kemaslahatan Masjid Jamik Sabang Barat senantiasa berunding bersama-sama
dengan dua sahabatnya. Mereka ialah:
- Haji Wan Abdullah bin Haji Wan Abdur Rahman. Beliau adalah selaku Kuasa Ahmadi & Co Midai. Beliau juga adalah nazir Masjid Jamik Sabang Barat.
- Penghulu Hasyim, iaitu saudaranya yang memang besar pengaruhnya, baik di mata masyarakat maupun pemerintah.
Sebelum Haji Bujang datang ke Midai, beliau banyak belajar di salah
satu pondok pesantren di Jawa. Di Midai pula, beliau turut belajar
kepada Haji Abdullah Yusuf dan Haji Abdur Rahman Ambon. Semasa menjadi imam di Masjid Jamik Sabang Barat, beliau
bersama-sama saudara dan sahabatnya juga belajar dengan ulama besar yang
datang ke Midai, yaitu Sheikh Umar. Oleh itu, Haji Bujang mempergunakan
waktu yang baik itu untuk mendalami pengetahuannya, terutama ilmu
tasauf. Sheikh Umar senantiasa berulang alik dari Midai ke Singapura dan
Malaysia untuk mengajar.
Selain sebagai imam, Haji Bujang juga seorang pedagang sukses pada zamannya. Beliau menikah sebanyak dua kali. Perkawinan pertama mendapat anak bernama Haji Ghazali, dan pernikahan kedua di Singapura dengan Fatemah. Melalui pernikahan kedua ini mendapat beberapa orang anak iaitu Usman, Haji Ali, Khalid, Ishaq,
Hamzah, Zainab, Khadijah, Syamsuddin, Siti Zalikha, Siti Zauyah, Siti Rahmah dan Siti Badariyah.
--------------------------
5. Haji Mat Tali
Mengenai beliau ini penulis tidak mendapat sebarang data. Dan hampir
semua orang yang ditemui tidak dapat menjelaskan sebarang data mengenai
beliau.
---------------------------
6. Haji Muhammad Mirun
Dimulai riwayatnya yang begitu mencintai ilmu pengetahuan, lalu mengembara hingga sampai ke negeri Patani. Pada zaman tersebut, Patani adalah tempat mendidik kader-kader Islam yang datang dari seluruh pelosok Tanah Jawi/Asia Tenggara. Semua guru pondok di zaman itu telah dididik oleh ulama-ulama Patani di Mekah, yaitu:
- Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain bin Musthafa al-Fathani
- Sheikh Muhammad bin Ismail al-Fathani
- Sheikh Wan Ali bin ABdur Rahman al-Kalantani
- Sheikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani
- Dan lain-lain lagi
Pondok-pondok pengajian di Patani yang terkenal pada zaman Haji Muhammad Mirun ke sana adalah berikut:
- Pondok Burmin
- Pondok Kelaba
- Pondok Semala
- Pondok Kuala Bekah
Tidak dapat diketahui pondok tempat Haji Muhammad Mirun belajar, ini
kerana hampir semua yang ditanya tidak dapat memberi keterangan yang
lengkap. Namun, yang jelas beliau hanya belajar di Patani. Nama pondok
dan gurunya tidak dapat diketahui secara jelas. Setelah mendalami ilmu pengetahuan, terutamanya ilmu fiqih,
usuluddin dan tasauf di Patani, lalu beliau pulang ke Serasan,
Indonesia dan mulai mengajar.
Saat beliau mengetahui ada seorang ulama yang baru pulang dari Mekah, beliau berhasrat untuk memperdalam ilmu dengan ulama tersebut, yaitu Tuan Guru Haji Abdur Rahman Ambon. Beliau seolah-olah anak angkat kepada ulama tersebut dan akhirnya, dikawinkan dengan anak perempuan gurunya itu. Haji Muhammad Mirun menerima baiah tarekat Qadiriyah, Selawat Dalailul Khairat dan lain-lain amalan daripada Haji Abdur Rahman Ambon itu.
Keturunan
Perkahwinan dengan anak Haji Abdur Rahman Ambon tidak mendapat anak.
Lalu berkawin kali kedua dengan Aisyah binti Kasah, dan mendapat
beberapa zuriat yaitu: Usman, Zaharah, Kamariah, Syamsuddi, Sirajuddin,
Hasanuddin, Baharuddin, Aminuddin, Azizah dan Syamsu Karnain.
Kembali ke rahmatullah
Haji Muhammad Mirun meninggal dunia di Midai, pada hari Selasa. Sebelum wafat, beliau berwasiat supaya ditanam di samping gurunya
Haji Abdur Rahman Ambon dan wasiat tersebut dijalankan oleh anak-anaknya
sebagaimana yang diminta.
-------Bersambung part III---------
Sumber:
(Koleksi tulisan ALLAHYARHAM WAN MOHD. SAGHIR ABDULLAH)
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1006&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm
No comments:
Post a Comment